WILAYAH - SELATAN > BERITA

LIMA INDIVIDU DITAHAN BANTU SIASATAN KES KEMATIAN RAKAN OKU

14/07/2024 07:49 PM

SEREMBAN, 14 Julai (Bernama) -- Lima individu termasuk tiga wanita ditahan bagi membantu siasatan kes kematian rakan lelaki mereka yang juga orang kurang upaya (OKU) di kolam renang sebuah hotel di Batu 3, Port Dickson di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata kesemua mereka yang berusia lingkungan 31 hingga 36 tahun ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson dan direman tujuh hari bermula hari ini.

Beliau berkata sebelum itu pihaknya menerima laporan kejadian seorang lelaki berusia 38 tahun yang lumpuh separuh badan, lemas ketika mandi di kolam renang tersebut dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

“Seorang daripada lima individu itu membuat laporan kira-kira 7.48 pagi semalam. Siasatan mendapati mangsa datang bersama lima rakannya itu dari Subang Jaya, Selangor ke Port Dickson untuk menyambut ulang tahun kelahiran dan menginap di hotel berkenaan dari Khamis lepas.

“Mangsa bersama lima rakannya itu mandi di kolam tersebut kira-kira 2 pagi dan disedari oleh pihak hotel yang kemudian melarang mereka untuk terus mandi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati mangsa berenang bersama-sama rakannya itu hingga tidak menunjukkan sebarang reaksi dan tindak balas sebelum dihantar ke hospital.

Aidi Sham berkata hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati punca kematian adalah mati lemas dan motif kejadian masih dalam siasatan.

“Semakan rekod lampau turut mendapati dua daripada mereka yang ditahan mempunyai rekod jenayah dan narkotik. Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas kelima-lima suspek positif dadah jenis THC,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan