WILAYAH - UTARA > BERITA

LARANGAN GUNA BEKAS MAKANAN POLISTIRENA TURUT LIBAT PENIAGA DARI RUMAH MELALUI COD - MPK

15/07/2024 07:14 PM

KANGAR, 15 Julai (Bernama) -- Larangan penggunaan bekas makanan berasaskan stirofoam dan polistirena dalam kawasan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang berkuat kuasa hari ini turut melibatkan mereka yang menjual makanan dari rumah dengan cara jualan menerusi perkhidmatan tunai semasa penghantaran (COD). 

Yang Dipertua MPK Affendi Rajini Kanth berkata sesiapa sahaja yang menjual dan mengedar makanan tidak dibenarkan menggunakan bekas makanan itu untuk membungkus makanan kepada pelanggan serta dilarang menggunakan penyedut minuman plastik berkuat kuasa 1 Ogos ini.

“Jangan guna polistirena untuk membungkus makanan, kita (MPK) larang 100 peratus secara mutlak penggunaannya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau premis jualan makanan dan minuman semasa penguatkuasaan larangan penggunaan bekas makanan itu di sekitar kawasan Taman Sena Indah di sini hari ini.

Pada 8 Jun lepas, Bernama melaporkan semua premis kedai termasuk gerai serta penjaja makanan dan minuman dalam kawasan MPK dilarang menggunakan bekas makanan berasaskan stirofoam dan polistirena berkuat kuasa mulai hari ini.

Affendi berkata untuk permulaan bagi aktiviti penguatkuasaan larangan itu, penguat kuasa MPK akan lebih menjurus kepada usaha mendidik dan menasihati peniaga sebelum tindakan terhadap mereka diambil mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 sekiranya masih ingkar terhadap arahan berkenaan selepas itu.

Beliau berkata jika peniaga didapati gagal mematuhi arahan itu, mereka boleh dikompaun maksimum RM500 atau denda tidak melebihi RM2,000 sekiranya disabitkan kesalahan.

Mengenai tinjauan ketika penguatkuasaan oleh penguat kuasa MPK terhadap larangan itu di sekitar kawasan Taman Sena Indah dan kawasan lain hari ini, Affendi berkata pihaknya mendapati hasilnya positif berikutan tiada peniaga menggunakan bekas makanan berasaskan stirofoam dan polistirena sekali gus berharap ia berterusan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan