WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ANGGOTA TRAFIK PATAH PAHA TERLIBAT KEMALANGAN KETIKA TUGASAN RASMI

14/07/2024 08:35 PM

TUMPAT, 14 Julai (Bernama) -- Seorang anggota polis trafik berusia 28 tahun patah paha kiri selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah van di Jalan Kubang Panjang, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata dalam kejadian pada 12.50 tengah hari itu, anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan sedang menghala ke Pengkalan Kubor dari Kota Bharu.

Beliau berkata anggota berpangkat konstabel itu menunggang motosikal jenis CBX 750 atas tugasan rasmi kawalan lalu lintas sempena lawatan kerja Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor.

"Setibanya di lokasi kejadian, sebuah van jenis Nissan Vannete C22 dipandu oleh seorang lelaki berusia 50-an yang berada di hadapan anggota itu telah membelok ke kanan.

"Anggota terbabit cuba mengelak ke kanan tetapi gagal dan terlanggar pintu van itu sehingga mengakibatkan beliau mengalami kecederaan parah selepas paha kirinya patah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata anggota terbabit dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat Inspektor Ibrahim Usman menerusi talian 010-9069696.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan