WILAYAH - SARAWAK > BERITA

39,019 WARGANEGARA DIDAFTAR AUTOMATIK PEMILIH BAHARU

15/07/2024 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Seramai 39,019 orang warganegara berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan automatik sebagai pemilih baharu dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mei Tahun 2024 (DPT BLN5/2024) dalam tempoh 1 hingga 31 Mei lepas.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata ia turut mengandungi 6,547 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 1,710 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

Beliau berkata DPT BLN5/2024 yang diwartakan pada hari ini dibuka untuk semakan selama 30 hari sehingga 13 Ogos depan.

“SPR menyediakan lima kaedah semakan bagi DPT BLN5/2024 seperti Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my selain portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.

“(Selain itu semakan boleh juga dibuat menerusi) aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak; atau Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Ikmalrudin turut menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh berkenaan dan mana-mana pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN5/2024.

Beliau berkata sekiranya mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN5/2024, pemohon boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya, boleh mengisi Borang D menerusi kaedah sama.

“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan.

“Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN5/2024 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi SPR di talian 03-8892 7218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan