WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISTIADAT PERTABALAN AGONG: 14 JALAN SEKITAR IBU NEGARA DITUTUP SEMENTARA

15/07/2024 07:56 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Sebanyak 14 jalan raya di sekitar ibu negara yang terlibat dalam upacara Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan ditutup secara berperingkat pada Sabtu ini, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa.

Beliau berkata Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur akan menempatkan 387 anggota terdiri daripada pegawai kanan dan pegawai rendah polis pada hari itu bagi penugasan mengiringi orang kenamaan, mengawal lalu lintas dan menguatkuasakan undang-undang jalan raya.

“Jalan terlibat ialah Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Damansara, Jalan Istana, Kuala Lumpur-Seremban Expressway, Jalan Kuching (arah selatan), Bulatan Dato Onn dan Jalan Parlimen.

“Jalan-jalan yang terkesan ini akan ditutup sementara bermula 8 pagi bagi acara Istiadat Pertabalan dan 8 malam bagi Majlis Santapan Diraja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata penutupan jalan secara sementara adalah untuk memberi laluan kepada tetamu diraja melalui laluan yang dinyatakan dan sampai mengikut masa yang ditetapkan serta akan dibuka semula selepas mereka melalui laluan terbabit.

Beliau sehubungan itu menasihati pengguna jalan raya untuk tidak melalui laluan terlibat bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan mengikuti arahan anggota polis trafik yang bertugas di lokasi.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur menerusi talian 03-2115 9999 atau Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur 03-2026 0267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan