WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUSPEK PEMBUNUHAN NUR FARAH KARTINI ANGGOTA POLIS

16/07/2024 02:21 PM

SUNGAI BULOH, 16 Julai (Bernama) -- Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek utama yang ditahan berhubung kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah yang ditemukan mati di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, petang semalam, merupakan seorang anggota polis.

Hussein berkata lelaki berusia 26 tahun itu yang juga teman lelaki mangsa, ialah seorang anggota yang bertugas di sebuah balai polis di Perak.

"Ya saya sahkan dia seorang anggota polis dan bertugas di Perak," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Hussein berkata siasatan awal mendapati mangsa dibunuh di lokasi mayat ditemukan dan dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari lepas berdasarkan keadaan mayat yang telah mula mereput.

 Susulan itu, polis telah mendapat perintah reman selama tujuh hari terhadap suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Selangor, pagi tadi.

Semalam, Hussein memaklumkan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang Rabu lepas ditemukan mati di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada 6 petang.

Mangsa yang berasal dari Miri, Sarawak merupakan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan bekerja dengan sebuah syarikat kereta sewa di Tanjung Malim, Perak, dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan.

Dalam perkembangan lain di IpohKetua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata suspek yang berpangkat Lans Koperal sudah lima tahun berkhidmat dan bertugas di Balai Polis Slim River.

"Pada 11 Julai lepas, Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim menerima laporan mengenai kehilangan mangsa dan polis menjalankan siasatan berasaskan kertas siasatan kes orang hilang dan suspek telah pun menunjukkan tempat di mana berlakunya kejadian yang berlaku di Selangor.

"Sehubungan itu, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan oleh Ibu Pejabat Kontinjen Selangor," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan