WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SURUHANJAYA PELANTIKAN KEHAKIMAN SYARIAH DICADANG DITUBUHKAN

15/07/2024 08:23 PM

PUTRAJAYA, 15 Julai (Bernama) -- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mencadangkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Syariah dan Akta Saraan Hakim Syarie.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam serta lain-lain agensi berkaitan berhubung perkara itu.

“Berkaitan Akta Saraan Hakim Syarie yang dipertegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, memang telah tiba waktunya penggubalan akta ini dibuat.  

“Adalah menjadi keperluan agar jawatan Hakim Syarie diasingkan daripada perkhidmatan awam bagi menaik taraf jawatan ini untuk memberikan refleksi sebenar kepada Perkara 121 (1A) yang telah meletakkan mahkamah syariah sebagai mahkamah yang setaraf dengan mahkamah sivil selain memastikan kebebasan badan kehakiman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar ketika merasmikan Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia  hari ini memberi komitmen bahawa kerajaan akan menyegerakan cadangan pelaksanaan Akta Saraan Hakim Syarie bagi memartabatkan status Hakim Mahkamah Syariah di negara ini.

Dalam pada itu Mohd Na’im berkata pihaknya akan memperbanyakkan penganjuran program kesedaran berkaitan undang-undang syariah kepada masyarakat beragama Islam dan bukan Islam.

“Ini amat penting untuk membina kefahaman serta menyerlahkan keadilan dan keindahan sistem kehakiman Islam,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada agensi yang terlibat menjayakan konvensyen itu antaranya Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan. 

Penganjuran konvensyen yang julung kali diadakan itu katanya diharap dapat membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk memberikan pandangan dan cadangan ke arah memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman syariah di negara ini secara komprehensif.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan