WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMBERIAN INSENTIF KEPADA PENGELUAR GULA TEMPATAN DITERUSKAN - KEMENTERIAN KEWANGAN

15/07/2024 11:43 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Pemberian insentif kepada pengeluar gula tempatan diteruskan buat sementara waktu sehingga kerajaan memuktamadkan mekanisme harga baharu gula putih bertapis, kata Kementerian Kewangan.

Kementerian itu berkata pemberian insentif itu telah bermula pada November 2023, namun ia tidak bersifat kekal atau bantuan dalam jangka masa yang panjang.

“Pemberian insentif ini adalah sementara bagi memastikan bekalan stabil dan berterusan khususnya kepada pengguna domestik (isi rumah dan pengusaha mikro) sehingga kerajaan memuktamadkan mekanisme harga baharu gula putih bertapis,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Isnin.

Kementerian Kewangan berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang meminta penjelasan berkenaan insentif kewangan sebanyak RM42 juta sebulan kepada semua pengilang gula di Malaysia mulai November 2023 dan sejauh manakah insentif kewangan itu akan diteruskan atau dipertimbangkan kerajaan untuk dimansuhkan dalam Belanjawan 2025. 

Pada tahun 2023, bagi membantu mengurangkan beban kepada pengeluar gula tempatan, kementerian telah meluluskan kuota kelulusan permit (AP) import sebanyak 557,080 tan kepada 43 syarikat yang layak. 

Bagaimanapun, hanya 41,596 tan atau 7.47 peratus yang telah diimport berikutan harga gula putih bertapis dalam pasaran antarabangsa masih kekal tinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan