WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MARA DIMINTA TERUS TEROKA POTENSI INDUSTRI HALAL GLOBAL - AHMAD ZAHID

16/07/2024 12:41 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) diminta untuk terus meneroka potensi antarabangsa dalam industri halal yang mempunyai prospek besar menerusi program Gate to Global (GTG), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ini memandangkan pada tahun lepas sahaja kadar sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) direkodkan 7.9 peratus, dengan jumlah eksport produk halal mencecah RM53.72 billion.

“...dari tahun 2020 sehingga hari ini, RM400 juta jumlah jualan telah disumbangkan kepada KDNK negara melalui syarikat GTG, dan hari ini saya cabar MARA untuk menggandakan nilai ini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), yang turut dihadiri Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan 400 warga kerja kementerian dan agensi.

Program GTG yang dilaksanakan MARA sejak 2017 bertujuan meningkatkan keupayaan usahawan dalam aspek pembangunan produk, pengukuhan penjenamaan dan pemasaran strategik yang dapat membawa produk tempatan ke pasaran dunia.

Sementara itu Ahmad Zahid juga mahu usaha mempelopori agenda membina generasi Al-Quran menerusi aspek latihan, kemahiran dan kerjaya terus diperkasakan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata program Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Pra Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang dimulakan secara rintis di 100 buah Tabika pada tahun lepas melibatkan 1,500 kanak-kanak, akan diperluaskan lagi tahun ini kepada 4,145 kelas melibatkan 64,175 kanak-kanak.

“MARA sendiri sehingga hari ini melalui sistem pengajian MRSM Ulul Albab telah melahirkan 3,564 huffaz,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan