WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ASEAN 2025: MALAYSIA SUARAKAN ISU PENCEMARAN PLASTIK

16/07/2024 01:07 PM

PUTRAJAYA, 16 Julai (Bernama) -- Malaysia akan menyuarakan isu pencemaran plastik yang melanda dunia sewaktu menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad. 

 Beliau berkata cadangan untuk menyuarakan isu berkenaan telah dinyatakan kepada Timbalan Setiausaha Agung (Komuniti Sosiobudaya) ASEAN ASC Ekkaphab Phanthavong dalam satu pertemuan semalam. 

“Kita telah suarakan antara cadangan Malaysia selain jerebu rentas sempadan yang selalu menjadi fokus isu alam sekitar di ASEAN. Kita ingin lihat soal pencemaran plastik kerana ini bukan hanya masalah yang membelenggu Malaysia.

“Kalau tengok Indonesia, Filipina dan negara lain juga berdepan masalah plastik,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Dron Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata soal isu pencemaran plastik memerlukan kerjasama semua negara di ASEAN.

“Kita tahu kalau bergerak satu negara mungkin kita terlalu kecil untuk dapat perhatian, tetapi kalau bergerak sebagai satu rantau ASEAN dengan 670 juta penduduk, maka kita dapat perhatian komuniti dunia. Kita memang bekerja keras mencari penyelesaian menyeluruh,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sedang menjalankan penyelidikan berkaitan impak kehadiran bahan cemar baharu terhadap kualiti air di beberapa lembangan sungai di Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata bahan cemar berkenaan termasuk bahan pengganggu endokrin (EDCs), kerintangan antimikrob (AMR) dan juga mikroplastik.

Mikroplastik mengikut takrifan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ialah serpihan plastik bersaiz kurang 5 mm dan ia memasuki sistem sungai melalui beberapa cara, terutamanya dari larian air permukaan, efluen air sisa (terawat dan tidak dirawat), efluen perindustrian dan sisa plastik terurai. 

Sebelum ini, Nik Nazmi dilapor berkata kerajaan sedang mempertimbangkan pengenalan undang-undang khusus untuk menangani masalah pembuangan dan pencemaran plastik yang menjadi isu utama di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan