WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA AKAN TERAJU PEMBANGUNAN PUSAT DATA BAGI SUKU KETIGA 2024 - JUWAI IQI

16/07/2024 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Malaysia merupakan pasaran pusat data yang paling pesat bertumbuh di rantau paling pantas berkembang bagi industri itu pada suku ketiga 2024, menurut Juwai IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kashif Ansari berkata prestasi ekonomi Malaysia yang teguh membantu melonjakkan permintaan dalam industri pusat data.

“Malaysia ialah pasaran pusat data paling pesat berkembang di Asia Tenggara. Lokasi strategik, dasar kerajaan yang menggalakkan, berdekatan dengan Singapura, serta tanah, tenaga dan air dengan harga yang menarik adalah faktor bagi pertumbuhan ini.

“Di Malaysia, perancangan pembangunan pasaran pusat data terdiri daripada 1.2 gigawatt (GW), yang mewakili 600 peratus pertumbuhan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata kerajaan menawarkan insentif cukai, geran, dan sokongan kawal selia untuk menarik pelaburan pusat data.

“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bersama-sama mewujudkan satu titik hubungan kerajaan untuk pelabur bagi memudahkan pelaburan digital.

“Pihak-pihak itu juga mewujudkan laluan hijau untuk membolehkan pusat data baharu memperoleh tenaga dalam tempoh seawal 12 bulan,” katanya.

Kashif berkata penyedia perkhidmatan awan utama seperti Amazon Web Services (AWS), Microsoft, Nvidia dan Google mengiktiraf pasaran Malaysia yang menarik dan telah komited untuk membuat pelaburan yang besar di negara ini.

Beliau berkata peserta utama dalam pasaran pusat data Malaysia termasuk NTT Global Data Centres, AWS, Microsoft, Google, dan firma tempatan seperti TIME dotCom dan Bridge Data Centres.

Pembinaan pusat data baharu yang dirancang di peringkat awal hampir sepenuhnya tertumpu di zon Greater Kuala Lumpur (55 peratus), dan Johor (45 peratus), sebagai pasaran yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara, katanya.

Ini didorong oleh kedudukan Johor berhampiran dengan Singapura di samping faktor utama iaitu bekalan kawasan tanah yang mencukupi dan bekalan tenaga boleh dipercayai, katanya.

Beliau berkata pasaran pusat data Malaysia akan terus berkembang pesat sepanjang baki tempoh dekad ini.

“Susulan lebih 3 GW sedang dilaksanakan atau dalam peringkat perancangan, dan perancangan 1.2 GW sedang dijalankan, pasaran dijangka berkembang sembilan kali daripada kapasiti semasa,” katanya.

Kashif berkata antara cabaran utama ialah memastikan bekalan tenaga yang boleh dipercayai dan mencukupi untuk menyokong pertumbuhan.

Beliau berkata pelaburan dalam infrastruktur tenaga dan sumber tenaga boleh baharu akan menjadi penting.

“Selain itu, usaha pelaburan juga akan membangunkan lebih banyak rangkaian kabel bawah laut untuk meningkatkan ketersambungan antara Malaysia dan seluruh dunia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan