WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BUNUH DIRI: LEBIH 48,000 PANGGILAN DITERIMA TALIAN 15555 - AHMAD ZAHID

09/07/2024 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian HEAL 15555 menerima lebih 48,000 panggilan berkaitan tingkah laku cubaan bunuh diri bagi tempoh 2022 hingga Jun tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Sosial Negara berkata selain itu, terdapat peningkatan kes bunuh diri dilaporkan pada tahun lepas iaitu sebanyak 1,087 kes berbanding 981 kes pada tahun sebelumnya.

Justeru itu, beliau berkata mesyuarat Majlis Sosial Negara telah bersetuju supaya peranan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan dalam menangani situasi berhubung tingkah laku bunuh diri di negara ini dilaksanakan secara bersepadu dan lebih proaktif.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Sementara itu, salam satu kenyataan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata agenda lain yang disentuh pada mesyuarat itu adalah mengenai silibus Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) di sekolah bawah Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata silibus PEERS dipersetujui dilaksanakan mengikut pelaksanaan sedia ada berserta cadangan penambahan waktu pengajaran dan pembelajaran silibus melalui kurikulum pendidikan kesihatan Kurikulum Persekolahan 2027.

Ahmad Zahid berkata turut dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan adalah mengenai pelaksanaan Penilaian Impak Sosial (Social Impact Assessment - SIA) bagi projek pembangunan.

“Sejak 2016 sehingga Mac 2024, Mesyuarat Panel Penilai Laporan SIA telah membuat penilaian laporan SIA bagi 51 projek pembangunan di peringkat Persekutuan dan 162 projek pembangunan telah dinilai di peringkat negeri,” katanya.

Mesyuarat turut menyentuh mengenai pencapaian Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (MyWI) 2022,  kata Ahmad Zahid.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan