WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BULI SIBER : BEBERAPA KEMENTERIAN AKAN BINCANG PERKETAT UNDANG-UNDANG DALAM MASA TERDEKAT - FAHMI

16/07/2024 04:03 PM

PUTRAJAYA, 16 Julai (Bernama) -- Penambahbaikan aspek perundangan akan diteliti kerajaan, termasuk mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian berkaitan dalam masa terdekat, bagi memperketatkan undang-undang berkaitan buli siber, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata terdapat undang-undang sedia ada yang perlu diperketatkan bukan sahaja dari segi takrifan definisi buli siber, tetapi juga dari segi denda atau hukuman yang boleh dikenakan.

“Berikan saya sedikit masa untuk memahami apa sebenarnya yang berlaku, tetapi secara prinsipnya memang di peringkat Jemaah Menteri, tiga empat orang menteri telah bersetuju dan kita akan duduk bersama meneliti aspek perundangan yang perlu kita tambah baik,” katanya.

Fahmi berkata demikian selepas majlis Persidangan Komunikasi Beretika dan Bertanggungjawab Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Beliau berkata undang-undang buli siber telah pun disebut oleh beberapa menteri termasuklah Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi)  Datuk Seri Azalina Othman Said, dan Azalina juga telah memaklumkan terdapat beberapa kanun keseksaan boleh dipinda segera.

“Saya percaya ini yang beliau sedang usahakan. Kita lihat banyak daripada aktiviti jenayah ataupun yang melanggar undang-undang, iklan judi dalam talian, kejadian scam dalam platform-platform media sosial, dan macam-macam lagi.

“Seolah-olah tidak dipandang serius oleh platform-platform, maka kita perlukan undang-undang khusus untuk memastikan platform media sosial juga bertanggungjawab atas apa yang berlaku dalam platform masing-masing,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pempengaruh TikTok A. Rajeswary atau Esha, ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kediaman di sebuah kondominium di Setapak pada 5 Julai, sehari selepas membuat satu laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan