WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPT ALU-ALUKAN SYOR PAC GUNA GARIS PANDUAN PELABURAN UNIVERSITI AWAM UNTUK ANAK SYARIKAT

16/07/2024 08:58 PM

CYBERJAYA, 16 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengalu-alukan sebarang cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pelaksanaan dan pemakaian Garis Panduan Pelaburan dan Pembiayaan oleh Universiti Awam 2024, kepada anak-anak syarikat di bawah seliaan kementerian itu.

Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata KPT percaya, sebarang dapatan dalam PAC bertujuan memastikan tadbir urus dan tatakelola universiti diuruskan dengan cekap dan berkesan.

“Kita mengalu-alukan sebarang cadangan daripada PAC, kerana bagi kita paling mustahak ialah sebarang dapatan yang ada dalam PAC bertujuan untuk baiki dari segi tadbir urus yang ada di universiti kita,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan surat tawaran program Sky Global Apprenticeship, di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi PAC  Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata PAC berpendapat, KPT boleh mempertimbang pelaksanaan dan pemakaian Garis Panduan Pelaburan dan Pembiayaan oleh Universiti Awam 2024 kepada anak-anak syarikat di bawah seliaan kementerian itu.

Mas Ermieyati berkata pembangunan dan penguatkuasaan garis panduan itu untuk diguna pakai semua universiti awam dilihat adalah baik.

Sementara itu, program Sky Global Apprenticeship merupakan inisiatif berimpak tinggi di bawah kerjasama Konsortium Universiti Malaysia, Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan Turkish Aerospace (TUSAS), yang dimeterai pada 7 April 2023.

Program tersebut telah direka bagi memastikan peserta dapat dilatih secara profesional dalam pelbagai disiplin bidang kejuruteraan aeroangkasa dan didedahkan dengan pengalaman praktikal dalam sektor termasuk avionik, reka bentuk elektronik, pengaturcaraan, reka bentuk struktur pesawat, pemasangan sistem pesawat yang kian berkembang pesat masa kini.

Zambry berkata program sebegini, mendedahkan pelajar universiti untuk mereka lebih mengenali bidang pilihan masing-masing dan pada masa sama mendapatkan pelbagai pengalaman seterusnya membangunkan diri dalam bidang tersebut.

“Ia selaras dengan dasar KPT iaitu pendekatan yang kita lakukan pada hari ini bukan hanya semata-mata apa yang mereka belajar di kampus sahaja, tetapi kita telah mula anjalkan pendidikan dengan mendedahkan pelajar untuk menimba pengalaman dari industri,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan surat tawaran program kepada 20 pelajar universiti yang akan menyertai program tersebut, antaranya terdiri daripada pelajar Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Sebanyak 30 pelajar Malaysia terpilih untuk mengikuti program itu bagi tahun ini dan kesemua mereka bakal mengikuti latihan pengalaman kerja profesional di Turkish Aerospace, Ankara, Turkiye bermula 22 Julai hingga 16 Ogos 2024 bagi kumpulan pertama dan 2 hingga 27 Sept 2024 bagi kumpulan kedua.

Menurut kenyataan media KPT, pihak TUSAS akan menaja dan menguruskan penginapan, makan minum dan pengurusan di lapangan untuk semua peserta yang terpilih, di samping memberikan honorarium kepada setiap peserta.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan