WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PINDAAN AKTA TIMBANG TARA SUSULAN MALAYSIA MANGSA TUNTUTAN SULU - AZALINA

16/07/2024 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Pindaan terhadap Akta Timbang Tara 2005 antara lain memperuntuk perkara berkaitan pembiayaan pihak ketiga, mengambil iktibar susulan tuntutan Kumpulan Sulu terhadap Malaysia sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pindaan itu memberi keyakinan bahawa Malaysia tidak mempunyai masalah dengan pembiayaan pihak ketiga dalam kes timbang tara namun perlu ada proses pengadilan yang jujur dan terbuka.

"(Dalam kes) Pembiayaan pihak ketiga ini, Malaysia menjadi mangsa Kumpulan Sulu. Sampai hari ini, kita tahu mereka tidak berkemampuan tetapi diberi sokongan dari luar, orang yang membantu tidak mahu beritahu siapa mereka dan mereka boleh pergi semua mahkamah antarabangsa sebab banyak duit.

“.. memang betul kita menyokong pembiayaan pihak ketiga dalam apa-apa prosiding antarabangsa timbang tara tapi kita nak proses pendedahan penuh. Itu memang kita merasakan dalam terma perundangan adalah strategi budiman maknanya kita dedahkan sepenuhnya (maklumat) tak ada sembunyi-sembunyi, kita ada kod etika," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Timbang Tara (Pindaan) 2024 peringkat Jawatankuasa hari ini sebelum ia diluluskan oleh Dewan Rakyat dengan lebih suara bersetuju. 

Azalina juga berkata pindaan rang undang-undang itu bertujuan memperkasa peranan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) yang antara lain, melalui penubuhan Mahkamah Timbang Tara AIAC, kuasa Presiden Mahkamah AIAC tidak secara berseorangan.

“Ini merupakanan antara inisiatif kerajaan bagi meningkatkan martabat AIAC sekali gus meningkatkan bilangan kes-kes Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) yang dirujuk ke Malaysia secara keseluruhannya,” kata beliau.

Turut diluluskan Rang Undang-Undang Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan (Pindaan) 2024 yang antara lain bertujuan memperuntuk perubahan nama Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (PTSKL) kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan