WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PARLIMEN: RANG UNDANG-UNDANG ORDINAN BURUH SABAH (PINDAAN) 2024 DIBENTANG

17/07/2024 02:57 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini bagi meminda Ordinan Buruh Sabah (Sabah Bab 67) selepas pindaan kali pertama dibuat pada 2005.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong yang membentangkan rang undang-undang (RUU) itu berkata bacaan kali kedua bakal dibuat pada mesyuarat akan datang.

Sementara itu, dalam sidang media kemudian Sim berkata pindaan kali ini bersejarah dan telah diusahakan selama hampir 20 tahun bagi menyeragamkan hak serta perlindungan golongan pekerja di Sabah dengan Semenanjung Malaysia di bawah Akta Kerja 1955 (Akta 265).

"Dalam menjayakan usaha ini, Kesuma (Kementerian Sumber Manusia) berterima kasih kepada kerajaan Sabah atas kerjasama menjayakan pembentangan RUU ini demi kepentingan 2.06 juta pekerja dan 187,365 majikan di Sabah," katanya.

Beliau berkata pindaan Ordinan Buruh Sabah melibatkan 16 perkara utama meliputi 70 fasal untuk menyelaras undang-undang perburuhan yang merangkumi tiga akta utama yang dikuatkuasakan di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata ia melibatkan Akta 265; Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446); dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 (Akta 350).

Antara perkara utama dalam pindaan itu melibatkan liputan pemakaian ordinan diperluaskan daripada pekerja bergaji RM2,500 ke bawah kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan.

Selain itu, tempoh cuti bersalin di Sabah dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari, manakala cuti paterniti yang tidak diperuntukkan dibawah Ordinan itu sebelum ini kini diberikan kepada golongan bapa sebanyak tujuh hari. 

Pindaan turut melibatkan waktu bekerja yang dikurangkan daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu, peruntukan baharu tentang aturan kerja anjal, peruntukan aduan buruh paksa, penambahan bab baharu 11B tentang gangguan seksual serta yang berkaitan perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja.

Selain itu, Sim berkata pindaan penyeragaman Ordinan Buruh Sarawak (Sarawak Bab 76) dengan Akta 265 mendapat persetujuan kerajaan negeri Sarawak dan kini dalam proses perincian draf RUU yang dijangka dibentang pada sesi Parlimen akan datang.

"KESUMA yakin dengan pindaan kedua-dua ordinan ini akan memberikan kesan positif kepada kebajikan dan hak pekerja di Sabah dan Sarawak seterusnya meningkatkan imej negara dalam aspek perburuhan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan