WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEPUTUSAN KEKALKAN KERUSI 6 BEKAS MP BERSATU TIDAK PELIK, GAMBARAN DEMOKRASI BERPARLIMEN

17/07/2024 11:59 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengekalkan enam kerusi Parlimen bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas keanggotaan mereka dibatalkan bukanlah perkara pelik malah sudah dijangka oleh ramai pemerhati politik.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar berkata keputusan itu juga adalah satu ujian kepada sistem demokrasi berparlimen di Malaysia serta menggambarkan tahap kematangan seorang Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam membaca dan mentafsir undang-undang.

“Selain itu, ia memperlihatkan bagaimana pemimpin parti berpandangan sama ada mahu terus bermain di sudut undang-undang atau mahu bermain di padang politik.

“… yang kita nampak sekarang ialah mereka (pemimpin Bersatu) tidak lihat perkara ini daripada roh kestabilan politik tetapi lebih kepada kepentingan politik,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk Status 6 MP Bersatu Akur atau Cabar Keputusan Speaker? terbitan Bernama TV malam ini.

Beliau berkata sekalipun keputusan itu dicabar oleh Bersatu di mahkamah, ada kemungkinan mahkamah akan berpihak kepada Speaker Dewan Rakyat.

 “Kita kena tengok juga keputusan Speaker ini, mungkin menjadi panduan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) di 13 negeri sebab setiap DUN ada Speaker serta enakmen masing-masing dan mereka akan berpandu kepada keputusan Speaker.

“Walaupun tiada keperluan untuk mereka ikut keputusan Speaker namun di sinilah kemampuan dan kematangan Speaker teruji dan saya melihat keputusan Speaker ini adalah untuk tidak membawa Parlimen ke belakang yang menyebabkan perlunya kekosongan kerusi untuk Pilihan Raya Kecil walhal perlembagaan parti hanyalah sekadar ‘hujung kuku’ di mata Perlembagaan Persekutuan dan tak terpakaipun untuk Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Minggu lepas, Johari memutuskan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai wakil rakyat serta tidak perlu mengosongkan kerusi mereka kerana pindaan perlembagaan Bersatu baru-baru ini bertentangan dengan peraturan Perlembagaan Persekutuan dan Parlimen.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Mohd Aziz Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Ketua Sekretariat Media Perpaduan Datuk Lokman Noor Adam pula berkata semua pihak perlu memahami Perlembagaan Persekutuan adalah ‘lebih besar’ berbanding perlembagaan mana-mana parti justeru itu, tidak seharusnya timbul isu sama ada Johari terkhilaf dalam membuat keputusan mengekalkan kerusi yang disandang oleh keenam-enam Ahli Parlimen.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan