WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ALPS GLOBAL MUNCUL UNICORN BIOTEKNOLOGI PERTAMA MALAYSIA

18/07/2024 09:34 AM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- ALPS Global Holding Bhd, syarikat bioteknologi bersepadu yang dimudah cara oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), menjadi syarikat bioteknologi pertama Malaysia yang mencapai status unicorn.

ALPS Global merupakan syarikat bioteknologi yang membangunkan perubatan jitu melalui teknologi genomik DNA, mRNA dan terapi selular.

Pengumuman itu dibuat pada Rabu semasa majlis perasmian persidangan dan Pameran Bioekonomi Kebangsaan (NBiOSHOWCASE) 2024 di sini, anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Bioeconomy Corporation sebagai penganjur utama.

Perasmian acara itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pencapaian ini memenuhi antara matlamat utama Dasar Bioteknologi Negara 2.0 yang menyasarkan penciptaan tiga syarikat bioinovasi dengan status unicorn menjelang 2030,” menurut kenyataan bersama MOSTI dan Bioeconomy Corporation sempena majlis itu.

Menurut kenyataan bersama itu, kejayaan tersebut adalah hasil usaha bersama MOSTI dan Bioeconomy Corporation yang melaksanakan peranan penting dalam menyokong pembangunan syarikat bioteknologi tempatan dan perkembangan pelaburan asing berkaitan bioteknologi di Malaysia.

“Ini termasuk pelaburan daripada Biocon, syarikat gergasi bioteknologi dari India yang telah memberi komitmen untuk beroperasi di Malaysia sejak 2011 dengan jumlah pelaburan hampir RM3 bilion,” jelasnya.

Menerusi mudah cara oleh Bioeconomy Corporation, Biocon telah memberi komitmen untuk mengembangkan kemudahan pembuatan insulin baharu mereka yang dijangka beroperasi pada 2026.

Pengembangan itu akan mewujudkan lebih 1,100 pekerja berkemahiran tinggi dan menjadikannya sebagai antara pusat penyelidikan dan pembuatan insulin bersepadu terbesar di dunia di samping meningkatkan akses produk insulin bagi pesakit di Malaysia.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata pengiktirafan ALPS sebagai syarikat unicorn pertama berasaskan bio di Malaysia akan memberikan suntikan semangat kepada ekosistem bioteknologi negara.

“ALPS merupakan satu-satunya unicorn berasaskan bioteknologi di Malaysia dan ini adalah berita yang sangat memberangsangkan.

“Saya harap ini boleh memberikan galakan kepada syarikat berasaskan bio dalam negara untuk terus berkembang dan menjadikan Malaysia sebagai hab bioteknologi di rantau ini,” katanya semasa sidang media selepas perasmian NBiOSHOWCASE 2024.

Beliau berkata ALPS dijangka disenaraikan di Nasdaq pada suku keempat 2024 dengan nilai perusahaan kira-kira US$1.6 bilion (US$1=RM4.67), sekali gus lalu membawa nama Malaysia ke persada dunia dan membuktikan keupayaan negara dalam menghasilkan syarikat berteknologi tinggi yang mampu bersaing di peringkat global.

“Ini adalah satu pencapaian yang sangat tinggi dan syarikat ini dimudah cara oleh Bioeconomy Corporation. Kita harap ada lebih banyak syarikat yang akan menjadi bio-unicorn yang berasaskan bio pada masa akan datang,” katanya.

Chang berkata ALPS merupakan syarikat unicorn kedua selepas Carsome, dan kerajaan telah mengenal pasti beberapa syarikat yang akan mencapai unicorn dalam jangka masa pendek di samping membantu syarikat demikian untuk menambah bilangan syarikat unicorn negara.

“Kita juga perlu membantu syarikat pemula niaga lain yang belum capai status unicorn.

“Memang unicorn adalah satu indikator namun, selain status unicorn, ada banyak juga faktor lain untuk mengenal pasti sama ada syarikat itu berjaya.

“Selain memberi tumpuan kepada unicorn, kita juga memberi tumpuan syarikat pemula lain,” katanya.

Semasa berucap pada majlis yang sama, Chang berkata dengan sokongan MOSTI, lebih 520 syarikat bioteknologi dan berasaskan bio telah dimudah cara oleh Bioeconomy Corporation, termasuk syarikat berstatus BioNexus, syarikat di bawah program Accelerator Berasaskan Bio, serta firma yang terlibat dalam projek bioteknologi berimpak tinggi di Malaysia.

“Secara kumulatif, syarikat ini telah mencatatkan pencapaian yang luar biasa dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM14.3 bilion dan menyumbang RM37.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bioeconomy Corporation Datuk Dr Lee Boon Chye berkata cadangan Anwar supaya bidang bioteknologi dikembangkan di seluruh negara adalah satu dorongan yang baik.

“Sektor bioekonomi merupakan antara penjana perkembangan ekonomi negara dan kita perlu membawa perkembangan tersebut ke kawasan desa.

“Saya berpandangan Bioeconomy Corporation boleh melaksanakan peranan untuk membangunkan industri kecil dan sederhana khususnya di kawasan desa dan juga memanfaatkan bahan tempatan. 

“Berkenaan jerayawara yang dicadangkan Perdana Menteri, ini adalah tanggungjawab yang harus kita pikul dan kita harap dapat melakukannya ke seluruh negara khususnya kawasan desa supaya kita boleh menarik lebih ramai usahawan dan anak muda untuk menceburi bidang bioekonomi,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak pula berkata pengiktirafan status unicorn akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan bioteknologi di rantau ini, khususnya dalam sektor penjagaan kesihatan.

“Penciptaan unicorn dalam industri bioteknologi membuka peluang untuk pekerjaan berkemahiran tinggi dan pembangunan bakat dalam kalangan rakyat Malaysia, di samping meningkatkan keupayaan pekerja tempatan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi,” katanya.

Persidangan dan pameran NBiOSHOWCASE 2024 dua hari itu yang bertemakan ‘Bioekonomi untuk Semua’ melibatkan hampir 140 reruai dengan lebih 110 pempamer dan dihadiri 4,000 orang pengunjung.

Sebanyak 11 memorandum persefahaman (MOU) ditandatangani antara kalangan peneraju industri bioteknologi dengan nilai dianggarkan RM1.5 bilion pada acara itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan