DUNIA > BERITA

BIDEN POSITIF COVID-19 SEMASA KEMPEN DI LAS VEGAS

18/07/2024 10:52 AM

WASHINGTON, 18 Julai (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden disahkan positif COVID-19 semasa berkempen di Las Vegas, Nevada.

Biden menunjukkan "gejala pernafasan atas," termasuk hidung berair, batuk dan "ketidakselesaan umum," menurut nota daripada doktornya. Walaupun dengan gejala itu, beliau berasa cukup sihat untuk menghadiri perhentian pertama kempennya pada petang Rabu.

Ujian dijalankan kemudian dan menunjukkan keputusan positif COVID-19, lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik pengumuman Rumah Putih pada Rabu.

Presiden "akan menjalani kuarantin kendiri dan akan terus menjalankan semua tugasnya sepenuhnya sepanjang tempoh itu," kata jurucakap Karine Jean-Pierre dalam satu kenyataan.

"Rumah Putih akan memberikan kemas kini secara berkala mengenai status Presiden sementara beliau terus menjalankan tugas sepenuhnya semasa dalam kuarantin," tambah Jean-Pierre.

Diagnosis Biden mula-mula didedahkan oleh presiden sebuah kumpulan advokasi hak sivil Latin yang dijadualkan Biden untuk berucap pada petang Rabu.

Ucapan itu telah dibatalkan. Bagaimanapun, Biden sempat menghadiri acara kempen di Restoran Original Lindo Michoacan di Las Vegas, apabila beliau bertemu dan bergambar dengan pengunjung.

Beliau juga mengambil bahagian dalam wawancara dengan penyiar berbahasa Sepanyol, Univision.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan