WILAYAH - SELATAN > BERITA

PENYELIA RESTORAN MENGAKU TIDAK BERSALAH PANDU MABUK, REMPUH POLIS TRAFIK

18/07/2024 02:49 PM

JOHOR BAHRU, 18 Julai (Bernama) -- Seorang penyelia restoran makanan laut mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis trafik, Ahad lepas.

Ng Wee Long, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ng didakwa memandu kereta Proton Wira dengan kandungan alkohol dalam badan 121 miligram (mg) per 100 mililiter (ml), iaitu melebihi kadar dibenarkan 50 mg per 100 ml, dan menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis trafik Mohamad Rasul Mohd Yusof di KM3.6 Jalan Pantai menghala ke Permas Jaya di sini, pada 7.05 pagi, Ahad lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000.

Jika sabit kesalahan, lesen memandu akan diendorskan serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama maksimum tujuh tahun dan lesen memandu percubaan, jika ada, dibatalkan.

Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor Inspektor S Vikineswary menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan lesen memandu digantung sehingga kes selesai selain perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan dia menanggung perbelanjaan bulanan keluarga seorang diri.

Mahkamah kemudian membenarkan lelaki itu diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 Ogos ini bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Dalam kejadian pagi Ahad itu, Mohamad Rasul patah tulang pinggul sebelah kiri, luka pada muka dan dagu selain luka pada bahagian tangan kanan selepas dilanggar Ng ketika membuat kawalan lalu lintas berikutan satu kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas sendiri di lorong kanan menghala ke Permas Jaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan