WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KUMPULAN TARIAN MALAYSIA MEMUKAU BANGKOK DENGAN PERSEMBAHAN "RAMAYANA"

18/07/2024 06:10 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 18 Julai (Bernama) -- Kumpulan tarian klasik Odissi Malaysia baru-baru ini memukau penonton di Festival Ramayana Antarabangsa di Bangkok dengan persembahan epik "Ramayana."

Diketuai oleh Datuk Ramli Ibrahim, pengerusi Yayasan Sutra di Kuala Lumpur, kumpulan tarian itu menterjemahkan visi artistiknya menjadi kenyataan. Produksi ini yang memulakan debutnya pada 2022, dipersembahkan di festival yang diadakan dari 12 hingga 15 Julai.

“Kami memberikan yang terbaik dalam persembahan Ramayana. Untuk persembahan di Malaysia, kami menamakan produksi kami sebagai “Jaya Ram”, yang bermaksud ‘Rama Berjaya’. Ia dikoreografikan dalam gaya tarian klasik India Odissi, dari negeri Odisha, India Timur.

“Kali ini, Malaysia mempersembahkan dirinya sebagai negara dengan tawaran transkultural, menekankan bahawa seni dan budaya telah menjadi pengalaman global. Kita adalah satu keluarga," katanya kepada Bernama semasa temu bual di sini.

Festival Ramayana Antarabangsa dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan Thailand untuk memperingati ulang tahun ke-72 Raja Maha Vajiralongkorn pada 28 Julai.

Festival ini diadakan di tiga lokasi di Bangkok: Pusat Kebudayaan Thailand, kawasan upacara Sanam Luang dan pusat beli-belah ICONSIAM dari 12 hingga 15 Julai.

Persembahan itu adalah kerjasama budaya antara Malaysia dan India, merayakan naratif abadi Ramayana dan mempamerkan tradisi tarian Odissi yang kaya.

Selain Malaysia dan tuan rumah Thailand, enam negara lain turut menyertai festival itu termasuk India, Kemboja, Myanmar, Singapura, Filipina dan Indonesia. Masing-masing mempamerkan tafsiran unik mereka tentang epik "Ramayana" melalui persembahan.

Sementara itu, Ramli berkata pengalaman itu sangat istimewa dan berbaloi untuk membuat persembahan di sini kerana beliau merasakan bahawa penonton sangat responsif dan bersemangat setiap kali mereka membuat persembahan, dengan lebih 2,000 orang hadir.

"Saya merasakan mengapa kita perlu memberi lebih keutamaan membuat persembahan di Eropah atau New York apabila tempat-tempat di Asia Tenggara boleh menawarkan penonton yang hebat dan persembahan diterima dengan baik di sini," katanya.

Beliau menambah bahawa festival itu menawarkan peluang yang baik untuk semua pengunjung mengalami naratif kaya Ramayana dengan cara yang pelbagai dan kreatif.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan