WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAHKAMAH LEPAS TANPA BEBAS SUAMI PUKUL ISTERI DENGAN BATANG MOP, KAYU BESBOL

18/07/2024 07:21 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan tanpa membebaskan seorang lelaki atas pertuduhan memukul isterinya menggunakan batang mop dan kayu besbol serta membaling kerusi plastik ke atas wanita itu, bulan lepas. 

Hakim Dr Azrol Abdullah membuat keputusan itu terhadap Inderjit Singh, 45, selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh memaklumkan kepada mahkamah bahawa terdapat perkembangan baharu berhubung kes berkenaan.

"Hari ini ditetapkan untuk sebutan bagi fakta kes dan hukuman kerana pada prosiding sebelum ini tertuduh telah mengaku bersalah, namun pada hari ini, pihak kami dimaklumkan terdapat perkembangan baharu. 

“Oleh itu, pada peringkat ini pihak pendakwaan memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan sementara menunggu arahan selanjutnya,” kata Muhammad Muhairi.

Mengikut pertuduhan, Inderjit didakwa dengan sengaja mencederakan isterinya, Sukhvinder Kaur di sebuah unit kondominium di Jalan Ipoh, Taman Rainbow, Sentul di sini pada 3 petang, 5 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 324/326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan