WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AGONG, RAJA PERMAISURI BERANGKAT KE MAJLIS BACAAN YASIN, DOA SELAMAT

18/07/2024 07:49 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Negara di sini.

Majlis itu ialah acara pertama daripada tujuh acara disusun sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini.

Ketibaan Seri Paduka Baginda berdua pada 5.18 petang tadi disambut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merangkap Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17 dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Turut hadir bersama kira-kira lebih 1,500 jemaah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan menteri-menteri Kabinet serta Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Majlis berkenaan dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.

Majlis itu bagi memohon kesejahteraan dan kesihatan buat Seri Paduka Baginda berdua bersemayam sebagai Ketua Negara selama tempoh lima tahun dan memohon kesejahteraan dan kesihatan seluruh rakyat Malaysia. 

Usai majlis, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan meluangkan masa menyantuni jemaah sebelum berangkat pulang pada 6 petang.

Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas.

Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan berlangsung di Istana Negara pada Sabtu ini dan bersempena dengan istiadat itu, BERNAMA TV akan menyiarkan dokumentari "Di Sebalik Mahkota" pada 19 Julai.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan