WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WANG PENDAHULUAN PINJAMAN BERI MANFAAT KEPADA 34,346 PELAJAR BAHARU IPTA, POLITEKNIK

18/07/2024 11:59 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Sebanyak 34,346 pelajar diploma yang meneruskan pengajian ke institusi pengajianHA tinggi awam (IPTA) dan politeknik bagi sesi Julai ini telah ditawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 seorang melibatkan peruntukan RM51.5 juta oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim berkata inisiatif tersebut bagi membantu ibu bapa dan pelajar yang layak menampung sebahagian daripada perbelanjaan mereka dalam melakukan persiapan awal. 

"Kita percaya tidak semua mampu menghantar anak-anak ke IPT kerana memerlukan sumber kewangan yang tinggi.

“Di Pulau Pinang sebanyak 1,434 pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan berjumlah RM2.2 juta, dengan kawasan Bukit Gelugor sahaja terdapat 82 pelajar ditawarkan wang pendahuluan ini melibatkan peruntukan RM123,000," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan  menunaikan wang pendahuluan itu di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai hari ini dengan membawa surat tawaran serta MyKad.

Norliza berkata wakil tidak dibenarkan untuk menunaikan WPP tersebut dan tempoh sah laku inisiatif itu ialah selama dua bulan bermula hari ini hingga 17 Sept 2024.

"Setiap pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap IPTA dan politeknik untuk memastikan pinjaman dapat diproses serta diluluskan sewajarnya. 

"Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN," katanya.

Jelasnya pelajar juga boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPTA dan politeknik masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan.

WPP diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima bantuan itu semasa membuat permohonan kemasukan IPTA dan politeknik melalui ‘UPUOnline’ atau portal kemasukan IPTA.

Selain itu, ia juga diberikan berdasarkan ibu bapa atau penjaga pelajar yang merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan ditetapkan.

Sejak WPP diperkenalkan pada 1999 hingga 30 Jun lepas, seramai 980,107 pelajar telah menerima manfaat tersebut dengan peruntukan berjumlah RM1.45 bilion.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai WPP PTPTN serta pinjaman PTPTN melalui aplikasi myPTPTN.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan