WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA AKAN CATAT POTENSI PELABURAN ASING BIOTEKNOLOGI BAHARU TAHUN INI

18/07/2024 11:21 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Malaysia akan mencatatkan beberapa lagi potensi pelaburan asing baharu melibatkan syarikat bioteknologi antarabangsa pada tahun ini merentasi pelbagai sektor termasuk kesihatan, menurut Malaysian Bioeconomy Development Sdn Bhd (Bioeconomy Corporation).

Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata Malaysia menjadi pilihan pelaburan asing kerana kos untuk membina kemudahan adalah lebih murah berbanding negara asal.

“Setakat ini yang saya boleh beritahu hanya satu syarikat sahaja iaitu Biocon, syarikat gergasi bioteknologi dari India, sementara yang lain masih lagi belum boleh kita maklumkan.

“Biocon telah bersama dengan kita di Malaysia bermula 2011 dan membuat pelaburan sebanyak RM1 bilion pada ketika itu, dan sekarang mereka ingin mengembangkan perusahaan mereka dengan sasaran jumlah pelaburan hampir RM3 bilion,” katanya semasa Sesi Perkongsian Penutup NBiOSHOWCASE 2024 di sini, pada Khamis.

Beliau berkata terdapat dua lagi pelaburan akan datang dengan satu daripadanya melibatkan kesihatan.

“Lagi satu kita masih menunggu jawapan dan terlalu awal untuk saya dedahkan,” katanya.

Biocon, syarikat utama bioteknologi dari India telah memberi komitmen beroperasi di Malaysia sejak 2011 dengan jumlah pelaburan hampir RM3 bilion. 

Menerusi mudah cara oleh Bioeconomy Corporation, Biocon telah memberi komitmen untuk mengembangkan kemudahan pembuatan insulin baharunya yang dijangka beroperasi pada 2026.

Pengembangan itu akan mewujudkan lebih 1,100 pekerja berkemahiran tinggi dan menjadikannya sebagai antara pusat penyelidikan dan pembuatan insulin bersepadu terbesar di dunia di samping meningkatkan akses produk insulin bagi pesakit di Malaysia.

Mohd Khairul Fidzal turut optimistik Bioeconomy Corporation dapat mencapai sasaran sumbangan daripada industri bioteknologi dan berasaskan bio sebanyak RM2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang akhir 2024.

Beliau berkata setakat ini pihaknya mendapati banyak syarikat terutama dari Singapura yang amat berminat untuk membuka kemudahan berkaitan kesihatan di negara ini.

“Dalam bidang bioteknologi, kesihatan merupakan penyumbang terbesar dari segi pulangan kepada negara bagaimanapun, pertanian pula penyumbang utama dari segi volum,” katanya.

Bagi tahun ini, industri bioteknologi telah mencapai prestasi hebat dengan mencatatkan pendapatan berjumlah RM1.5 bilion dalam tempoh Januari hingga Mei, melalui fasilitasi dan sokongan daripada Bioeconomy Corporation.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan