BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LEBIH RM400,000 MASUK AKAUN BANK MILIK AZLAN MAN - SAKSI 

19/07/2024 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa terdapat kemasukan wang berjumlah RM404,990.90 ke dalam akaun Maybank milik bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man pada 2014 dan 2015.

Penolong Pengurus Maybank Cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di Wisma FGV Hasimah Hassim, 54, berkata wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun Maybank Azlan menerusi dua cek daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd.

“Saya sahkan cek bernilai RM208,339.90 dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik Azlan pada 19 Feb 2014 dan satu lagi cek bernilai RM196,651 pada 9 Feb 2015 daripada syarikat yang sama,” kata saksi pendakwaan ketiga itu.

Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksi pada hari kedua perbicaraan kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Bintong itu atas 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.

Hasimah yang mula berkhidmat dalam sektor perbankan pada 1993 itu turut mengesahkan bahawa Azlan mula membuka akaun di bank itu pada 1985.

Bagaimanapun ketika ditanya oleh peguam Burhanudeen Abdul Wahid mewakili Azlan, sama ada dokumen pembukaan akaun tertuduh merupakan dokumen asal atau tidak, Hasimah memaklumkan ia bukan dokumen asal kerana alamat yang diisi ialah alamat kediaman rasmi Menteri Besar Perlis sedangkan ketika itu Azlan belum memegang jawatan itu.

“Dokumen itu bukan dokumen asal. Sejak pembukaan akaun tersebut pada 1985, pihak bank tidak mempunyai dokumen pertukaran alamat,” jawab Hasimah.

Diminta oleh Pegawai Pendakwa Mohammad Shaiful Nasir untuk saksi itu menjelaskan mengenai dokumen asal pembukaan akaun, Hasimah berkata tiada borang asal mengenainya dan hanya ada maklumat pembukaan akaun cetakan komputer daripada sistem Maybank.

Azlan, 65, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, Kangar antara Dis 2013 dan Dis 2017.

Hal itu membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom serta invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel&Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel&Tours Sdn Bhd.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azlan sebelum ini turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta, antara 19 Feb 2014 dan Dis 2017 di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial di sini antara 19 Feb 2014 dan Dis 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan boleh didenda lima kali nilai hasil atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 1 Ogos ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan