WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENGAWAL KESELAMATAN DIDAKWA MILIKI BUKU, LUKISAN BENDERA DAN VIDEO BERKAITAN DAESH

19/07/2024 04:46 PM

KAJANG, 19 Julai (Bernama) -- Seorang pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan memiliki buku, lukisan bendera, artikel dan dua video berkaitan dengan kumpulan Daesh, bulan lepas.

Muhamad Norulaini Supardi, 33, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa memiliki tiga buku, satu lukisan bendera, satu artikel dan dua video di dalam telefon bimbitnya yang berkaitan dengan kumpulan Daesh di sebuah rumah di Kajang pada 9.25 pagi, 23 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ainaa Ridzwan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan