WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROGRAM PENN SALUR DANA LEBIH RM8 JUTA KEPADA USAHAWAN WANITA INDIA SETAKAT 17 JULAI

19/07/2024 03:27 PM

PETALING JAYA, 19 Julai (Bernama) -- Sebanyak RM8.8 juta disalurkan kepada 1,229 usahawan wanita India setakat 17 Julai lepas menerusi program Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women (PENN), kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R.Ramanan. 

Beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada dana khas RM50 juta yang diperuntukkan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi program yang bertujuan memperkasa dan menjamin masa depan usahawan wanita India yang dilancarkan pada 13 April lepas.

“Perak mencatatkan permohonan yang paling banyak iaitu 396 Sahabat AIM diikuti Selangor dan Kuala Lumpur iaitu seramai 293 Sahabat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan cek cura pembiayaan PENN kepada 20 penerima di Ibu Pejabatnya di Damansara yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga AIM Datuk Seri Syed Hussian Syed Junid dan Pengarah Urusan AIM Shamir Aziz.

Ramanan berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan, dan program itu dijangka akan terus memberi manfaat kepada 10,200 wanita India di seluruh negara.

Beliau berkata AIM telah mencatat kejayaan membanggakan apabila berjaya mengeluarkan lebih empat juta isi rumah daripada belenggu kemiskinan dan mengekalkan peratus Non-Performing Loan (NPL) sebanyak 0.09 peratus tahun lepas.

Sementara itu seorang penerima dana T. Amutha, 50, yang merupakan pemilik kedai runcit ketika ditemui di majlis hari ini berkata urusan pinjamannya bersama AIM amat mudah selain nilai faedah yang diberikan cukup rendah iaitu 10 peratus.

“Saya mula menyertai AIM pada 2009 dan meminjam RM3,000 untuk membuka kedai runcit. Pembiayaan pada hari ini iaitu RM23,000 adalah untuk saya lebarkan perniagaan selain mengurangkan beban yang ditanggung,” katanya yang berniaga di Kinta, Perak.

Selain itu seorang peniaga makanan kacang putih V. Letchumy, 50, ketika ditemui di majlis sama berkata beliau akan menggunakan pembiayaan PENN RM25,000 sebagai modal membeli kelengkapan dan barangan yang makin usang.

“Saya akan menjual kacang putih di tokong India sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dan pembiayaan yang saya terima hari ini adalah untuk untuk beli payung dan barang-barang perniagaan,” katanya yang sudah berkecimpung dalam bidang perniagaan lebih 20 tahun.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan