WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA ALU-ALUKAN KEPUTUSAN MAHKAMAH KEADILAN ANTARABANGSA MENGENAI ISU PALESTIN

20/07/2024 06:36 AM

PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Malaysia mengalu-alukan keputusan bersejarah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memihak kepada Palestin.

Keputusan Mahkamah disampaikan melalui Pendapat Nasihat berkaitan dengan Kesan Perundangan yang timbul daripada Dasar dan Amalan Israel di Wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis  Timur, pada Jumaat.  

Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan berkata keputusan ICJ ini mengesahkan hujah perundangan Malaysia yang telah dibentangkan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan semasa di mahkamah berkenaan 22 Februari lepas. 

“Malaysia menggesa semua negara supaya mendesak Israel menerima dan mematuhi keputusan ICJ dan segera menghentikan segala sokongan mereka kepada Israel daripada meneruskan pendudukan haram di Wilayah Palestin,” katanya.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa dengan majoriti yang amat besar telah memutuskan bahawa pendudukan Israel yang berterusan di Wilayah Palestin yang diduduki adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa dan harus dihentikan dengan segera. 

Semua aktiviti pendudukan baharu harus ditamatkan dan segala kemusnahan diberi pampasan.

“Keputusan mahkamah ini menegakkan hak mutlak rakyat Palestin dalam menentukan nasib sendiri. Tindakan dan dasar-dasar Israel didapati melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya. 

Malaysia akan terus menyokong dan memperjuangkan pembentukan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan persempadanan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara, selain daripada Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia berkata mahkamah itu turut menekankan tanggungjawab bersama semua negara dan organisasi antarabangsa dalam menamatkan pendudukan haram Israel. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan