WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SARAWAK, LTAT METERAI PERJANJIAN SAHAM SELEPAS PEROLEH KELULUSAN KAWAL SELIA - ABANG JOHARI

19/07/2024 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Kerajaan Sarawak dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan meneruskan perjanjian jual dan beli (SPA) untuk meningkatkan pegangan kerajaan negeri dalam Affin Bank sebaik sahaja kelulusan kawal selia diperoleh, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata demikian ketika memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan LTAT untuk meneroka potensi kerjasama, perkongsian maklumat dan sokongan bersama di sini, hari ini.

“Kerjasama antara kerajaan Sarawak dan LTAT memberikan peluang unik kepada Sarawak untuk meneroka potensi kerjasama khususnya, dalam enam sektor keutamaan, iaitu pembuatan, pertanian komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan dan perkhidmatan,” katanya.

LTAT ialah pemegang saham terbesar Affin Bank.

Rentetan daripada langkah tersebut, dilaporkan hari ini rancangan kerajaan negeri untuk memeterai perjanjian peningkatan kepentingannya kepada kira-kira 30 peratus daripada 4.8 peratus telah ditangguhkan.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata inisiatif kerjasama dengan LTAT itu menandakan usaha kerajaan negeri untuk memanfaatkan kepentingan kedua-dua pihak berikutan ia mempunyai falsafah pelaburan mampan jangka panjang yang sejajar dengan Sarawak.

Beliau percaya Affin Bank berpeluang untuk mengambil bahagian dan mengembangkan portfolio alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pangkalan pelanggan runcitnya dengan potensi yang belum diterokai di Sarawak, contohnya, dalam pembayaran tanpa tunai dan perbankan digital.

“Selain itu, Affin Bank boleh meneroka kerjasama untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menyediakan akses kepada pembiayaan mampu milik, sambil meningkatkan dan memanfaatkan platform rangkaian Affin Bank,” katanya.

Beliau berkata kerjasama itu akan memberi kesan positif kepada pembangunan Sarawak dan menyediakan platform kewangan untuk meningkatkan ekonomi melalui pembangunan PKS dan program keusahawanan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan