WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK NENGGIRI: ANGKATAN MUDA HARAPAN SEDIA BANTU CALON BN

19/07/2024 09:02 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Angkatan Muda Harapan (AMH) menyatakan sokongan serta kesediaan untuk membantu dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Setiausaha Angkatan Muda Harapan Omar Mokhtar A. Manap berkata ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Angkatan Muda Harapan Bilangan 2 Tahun 2024 yang bersidang, semalam.

“Angkatan Muda Harapan turut menyeru kepada semua jentera Pakatan Harapan (PH) di setiap peringkat untuk bersedia memberi sokongan dan kerjasama kepada jentera BN dalam kempen di PRK DUN Nenggiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Mohd Azmawi Fikri yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan diumumkan sebagai calon BN bagi PRK DUN Nenggiri.

PRK itu diadakan susulan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.

Omar Mokhtar berkata mesyuarat turut menyokong penuh penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Beliau berkata tindakan itu seharusnya menjadi pengajaran buat semua Ahli Parlimen untuk berbahas dengan fakta yang jelas dan sahih tanpa cuba untuk mengelirukan Dewan.

“Wakil rakyat yang dipilih seharusnya menjadi teladan kepada masyarakat khususnya anak-anak muda dalam membawa politik matang dengan berbahas menggunakan fakta sahih dan bukan politik murahan yang hanya meruntuhkan digniti sebagai seorang ahli Dewan Rakyat tanpa usul periksa,” katanya.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengumumkan Wan Ahmad Fayhsal digantung selama enam bulan susulan tindakan Ahli Parlimen Machang itu membangkitkan isu sepucuk surat layang di Dewan Rakyat, kononnya dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Keputusan itu dibuat selepas usul menggantung Wan Ahmad Fayhsal daripada Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa Pilihan mendapat sokongan 110 Ahli Parlimen, manakala 63 tidak bersetuju menerusi undi belah bahagian, tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.

Sementara itu, Omar Mokhtar berkata Angkatan Muda Harapan telah melaksanakan penyusunan semula barisan pimpinan utama di peringkat pusat dan negeri bagi memperkasa kekuatan jentera pemuda PH, antaranya dengan memilih Ketua Kebangsaan DAP Dr Kelvin Yii Lee Wuen sebagai ketua angkatan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan