EKONOMI > BERITA

SUNWAY CONSTRUCTION LANTIK SUNWAY ENGIE DC BAGI KERJA SUBKONTRAK RM416.78 JUTA

19/07/2024 11:15 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Sunway Construction Sdn Bhd (SCSB) menganugerah subkontrak bernilai RM416.78 juta kepada Sunway Engie DC Sdn Bhd yang juga usaha sama dengan kepentingan 70:30 antara unit milik penuhnya Sunway Engineering Sdn Bhd (SESB) dan Engie Services Malaysia Sdn Bhd.

Sunway Construction Group Bhd (SunCon) yang secara tidak langsung memiliki SCSB, berkata kerja-kerja subkontrak itu melibatkan kerja kontrak utama pembinaan dan pemasangan sistem mekanikal dan elektrikal, termasuk kerja-kerja sampingan bagi sebuah pusat data di Selangor untuk syarikat teknologi multinasional beribu pejabat di Amerika Syarikat.

“Kerja-kerja subkontrak ini merangkumi tempoh 36 bulan dan dijangka siap menjelang suku kedua 2027," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Pada 21 Mac, 2024, SunCon telah mengumumkan kejayaan SCSB meraih projek bernilai RM747.8 juta bagi pembinaan pusat data untuk sebuah syarikat multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat di Selangor.

Menurutnya, kerja-kerja projek itu dijadualkan bermula selewat-lewatnya 15 Mei, 2024 dan siap menjelang suku kedua 2027.

Syarikat pembinaan itu menjangkakan subkontrak berkenaan akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 dan bagi tempoh berikutnya.

Engie Services Malaysia pada dasarnya terlibat dalam membangunkan, memiliki dan mengendalikan aspek penyejukan, kemudahan tenaga haba solar dan pengeluaran penyelesaian tenaga cekap serta kejuruteraan, reka bentuk dan pemasangan bagi projek pusat data.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan