WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MOHAMMAD ANIQ MAHU ANGKAT 305KG DI PARIS

20/07/2024 11:43 AM

SEPANG, 20 Julai (Bernama) -- Atlet angkat berat negara Mohammad Aniq Kasdan menyasarkan untuk melakukan angkatan 305 kilogram (kg) dalam kategori 61kg yang disertainya untuk memburu pingat di temasya Sukan Olimpik Paris 2024, yang akan membuka tirainya 26 Julai ini.

Badang berusia 24 tahun yang membuat penampilan sulungnya di temasya berkenaan berkata setakat ini, beliau sudah berhasil membuat angkatan seberat 302kg dan hanya memerlukan beberapa sentuhan akhir bagi merealisasikan impiannya itu.

Beliau bagaimanapun berkata perlu berdepan beberapa saingan sengit antaranya pencabar dari Thailand dan Amerika Syarikat (AS), dalam usaha menaiki podium dalam acara angkat berat yang akan berlangsung pada 7 Ogos di South Paris Arena.

“Thailand dan AS memang mereka antara pencabar utama, mereka lebih muda daripada saya. Majoriti yang ke Olimpik ini ramai dari Asia Tenggaralah, jadi memang selalu jumpa mereka dan sudah tahu mereka memang pencabar sengit.

“Saya layak ke Olimpik sebelum ini 296kg dan mereka ada yang lakukan angkatan 299kg dan 300kg jadi beza dua hingga empat kilogram. Jadi hari kejohanan itulah paling penting menentunkan siapa boleh,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Terdahulu Mohammad Aniq berlepas ke Antalya, Turkiye bagi menjalani kem latihan terakhir sebelum beraksi di temasya sukan berprestij di Paris bersama jurulatihnya Edmund Yeo.

Beliau berkata pecutan akhir di Turkiye itu, sangat penting sebagai persediaan buatnya membiasakan diri dari segi iklim. 

“Persiapan di Turki ini lebih kepada penyesuaian diri dari segi cuaca dan sebagainya sebab ia dekat dengan Paris juga, saya juga tak mahu ada gangguan ritma,” katanya.

Mohamad Aniq dijadual berada di Antalya, Turkiye untuk kem latihan selama dua minggu bagi membiasakan diri dengan perbezaan masa dan cuaca di Eropah, sebelum tiba di Paris pada 3 Ogos untuk latihan rasmi di venue pertandingan.

Malaysia tidak pernah memenangi pingat Olimpik bagi sukan angkat berat manakala badang terakhir negara beraksi di pentas Olimpik ialah Mohd Hafifi Mansor pada edisi Rio 2016 dalam kategori 69kg.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan