WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Isu pendidikan, cabaran negara dibincang dengan Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia - Fadhlina

27/07/2024 11:31 AM

PUTRAJAYA, 27 Julai (Bernama) -- Isu mengenai pendidikan dan cabaran membina negara khususnya mempertahankan nilai, moral dan agama serta kendala sebagai pimpinan negara telah dibincangkan antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia.

Perkara itu disentuh pada pertemuan antara Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ketua Umum Dewan Da'wah Islamiyah Indonesia Dr Adian Husaini yang diadakan malam tadi.

“Hubungan awal terbina semasa bapa saya menjadi aktivis dakwah ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) dan hubungan keluarga dakwah ini diteruskan hingga kini.

“Semoga hubungan antara kedua-dua negara terus erat dan memberikan manfaat yang besar kepada ummah,” kata Fadhlina dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini.

Fadhlina yang merupakan anak kepada bekas Presiden ABIM Allahyarham Dr Siddiq Fadzil berkata pertemuan itu juga adalah manifestasi hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia dalam konteks ilmu, kepimpinan dan dakwah.

Beliau berkata manifestasi hubungan baik itu juga dalam konteks peranan tokoh agama dan ahli politik Indonesia Mohammad Natsir yang telah mengungkapkan ‘politik di jalur dakwah’ sebagai asas memimpin Indonesia suatu masa dahulu.

Sebelum pertemuan berakhir, Fadhlina berkata Adian telah menghadiahkan dua buku yang ditulisnya iaitu Indonesia Maju 2045 dan Bersama Dewan Da’wah Indonesia Mewujudkan Indonesia Adil-Makmur 2045.

“Terima kasih buat Adian dan rombongan, moga bertemu di lain masa, selamat berangkat pulang ke Indonesia,” kata Fadhlina.

Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia yang diasaskan oleh Mohammad Natsir pada 26 Feb 1967 merupakan sebuah organisasi dakwah terkemuka di Indonesia.

Mohammad Natsir merupakan Perdana Menteri kelima Indonesia bermula 5 Sept 1950 hingga 26 April 1951 sebelum jawatan itu dimansuhkan di republik itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan