WILAYAH - UTARA > BERITA

Sarjan Mazlan anggap pingat motivasi kerja kuat

27/07/2024 05:59 PM

GEORGE TOWN, 27 Julai (Bernama) -- Anggota tentera yang menyelamatkan pasangan terjatuh daripada Jambatan Pulau Pinang, Januari lepas, dianugerahkan Pingat Gagah Perwira (PGP) sempena sambutan Ulang Tahun Ke-75 Yang DiPertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak hari ini.

Sarjan Mazlan Abdul Rahman, 35, berkata penganugerahan itu menjadi motivasi buatnya untuk terus bekerja keras dan membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Beliau yang merupakan jurulatih jasmani dan sukan di Batalion 2 Rejimen Askar Melayu Diraja (RMAD) Kem Sungai Ara dekat sini berkata pingat itu juga akan menjadi pembakar semangat serta pengiktirafan kepada rakan-rakan dalam batalion. 

“Selepas mendapat penghargaan daripada Angkatan Tentera Darat, saya tidak sangka akan mendapat penganugerahan PGP daripada kerajaan negeri hari ini, memang terkejut dan tak sangka langsung terima pingat ini," katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Kehormatan Negeri di Dewan Seri Pinang, di sini hari ini.

Seramai 235 penerima terlibat dalam istiadat hari ini dengan bekas Pengerusi DAP Tan Sri Lim Kit Siang mendahului senarai sebagai penerima darjah tertinggi negeri Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Mengimbas kembali kejadian, Mazlan berkata tiada apa dalam fikirannya ketika itu selain mahu menyelamatkan nyawa manusia dalam bahaya yang selama ini diterap dalam pasukan.

Beliau yang telah 14 tahun berkhidmat dalam pasukan tentera mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan Tun Ahmad Fuzi atas penganugerahan itu.

Mazlan yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah, sebelum ini berkhidmat di Kelantan dan dipindahkan ke negeri ini hujung tahun lepas.

Bapa kepada dua anak lelaki berusia tujuh dan tiga tahun itu merupakan satu-satunya individu yang menerima PGP tahun ini.

Dalam kejadian 15 Jan lepas, Mazlan dilaporkan bertindak nekad terjun di Jambatan Pulau Pinang bagi menyelamatkan dua individu yang dipercayai terjatuh ke dalam laut.

Sebanyak 142 penerima Darjah Kebesaran dan 1,204 penerima Bintang dan Pingat Kehormatan disenaraikan sempena istiadat penganugerahan itu yang berlangsung empat hari hingga Khamis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan