WILAYAH - SELATAN > BERITA

Fokus perkuat UMNO, usah fikir cadangan kembalikan sistem lama pemilihan - Ahmad Zahid

27/07/2024 05:42 PM

MERSING, 27 Julai (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu semua ahli memfokus kepada usaha memperkuat parti berbanding terlalu memikirkan cadangan untuk mengembalikan sistem lama dalam pemilihan akan datang. 

Beliau berkata bagi meminda sistem atau peraturan sedia ada yang memberi peluang ahli parti di seluruh negara memilih kepimpinan tertinggi, perkara tersebut perlu dibawa ke Perhimpunan Agung Khas. 

"Pemilihan UMNO akan dibuat pada 2026 dan ada tempoh dua tahun lagi tetapi perkara ini perlu dibawa ke Perhimpunan Agung Khas kerana melibatkan pindaan perlembagaan, kalau sekadar peraturan ia akan dibawa dalam Majlis Tertinggi (MT).

"Namun janganlah kita terlalu fikirkan soal pemilihan parti. Saya berharap semua kepimpinan di peringkat nasional hingga cawangan tumpukanlah kepada kerja-kerja memperkuat parti," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Mersing di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini. 

Turut hadir Ahli MT UMNO Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua UMNO Bahagian Mersing Mohd Youzaimi Yusof.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah portal mengenai cadangan agar UMNO kembali kepada sistem lama yang memberi hak mengundi kepada 2,500 perwakilan pada pemilihan parti melibatkan jawatan tertinggi di peringkat pusat. 

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga meminta ahli parti agar menghormati pandangan Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah bahawa DAP tidak perlu berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, yang berlangsung 17 Ogos ini. 

Beliau juga berkata hasrat Johor melancarkan sekolah rintis mulai 2025 bagi mencorakkan masa depan pendidikan Bangsa Johor adalah inisiatif yang baik dan harus mendapat sokongan kerajaan pusat.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dilapor berhasrat melaksanakan inisiatif itu dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor selari dengan titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti.

Beliau berkata sekolah itu akan menumpukan penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik serta Bahasa Inggeris dan sebagai permulaan, projek tersebut melibatkan dua sekolah rendah serta dua sekolah menengah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan