WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Orang ramai ambil kesempatan cuti hujung minggu kunjungi Pameran Raja Kita

28/07/2024 01:37 AM

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Orang ramai mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk  ke Pameran Raja Kita di Muzium Negara hari ini, bagi menyaksikan sendiri lebih 272 koleksi peribadi dan item berkaitan Institusi Yang di-Pertuan Agong.

Tinjauan Bernama mendapati pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelancong asing membanjiri Muzium Negara di sini, dan kebanyakan pengunjung menyifatkan pameran berkenaan mendekatkan diri mereka dengan peribadi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, selain memberi pencerahan tentang sejarah institusi Diraja itu.

Pameran hari ini juga mendapat sambutan luar biasa kerana pengunjung ingin melihat Mahkota Kerajaan Johor dan Mahkota Permaisuri yang dibawa khas dari Muzium Diraja Abu Bakar, Istana Besar Johor, yang hanya dipertontonkan kepada umum untuk tempoh lima hari pertama pameran yang berlangsung hingga 29 Sept itu.

Perunding kesihatan Fadzrel Abu Bakar, 34, berkata pameran itu mampu melahirkan rasa cinta dan membuatkan rakyat menzahirkan penghargaan kepada Ketua Utama Negara.

“Antara yang menarik perhatian saya adalah Cogan Agama dan Cogan Alam kerana alatan Diraja itu ada nilai tersendiri … sekali gus menunjukkan betapa utuhnya agama dan alam dalam pemerintahan Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada Bernama.

Fadzrel berkata pameran itu  juga memberi pencerahan mengenai aktiviti yang digemari Sultan Ibrahim ketika waktu lapang. 

“Kita nampak raja-raja ini terkenal dengan protokol dan adatnya tersendiri, namun apabila kita hadir ke sini (Pameran Raja Kita) dan melihat sendiri barang-barang peribadi dan diceritakan oleh kurator, kita dapat mengenali lebih mendalam mengenai Yang di-Pertuan Agong," katanya. 

Ng Chua Wan, 76, guru tadika di Puchong berkata dia datang ke Pameran Raja Kita untuk mengambil gambar koleksi dan item yang dipamerkan dan berkongsi dengan anak muridnya yang tidak berpeluang ke pameran itu.

"Generasi muda perlu didedahkan dengan pameran ini. Apabila saya bertanyakan tentang sejarah negara kepada anak murid saya, mereka tidak begitu tahu dan saya mengajak mereka supaya datang ke pameran ini, namun ada banyak perkara yang perlu dilakukan untuk membawa mereka ke sini," katanya.

Bagi pelancong dari Pekanbaru, Indonesia Sherina Lya, 27, berkata Pameran Raja Kita memberikan pengalaman baharu buat dirinya apabila dapat mengenali mengenai sejarah Yang di-Pertuan Agong.

“Pameran ini cukup bagus dan yang paling menarik ialah baju Muskat yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda. Saya juga dapat melihat sendiri perbezaan pameran di Malaysia dan Indonesia,” katanya. 

Selain Mahkota Kerajaan Johor dan Mahkota Permaisuri yang digunakan semasa Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim pada 2015, turut menjadi tarikan pada pameran itu ialah basikal Raleigh Chooper yang dibeli menggunakan duit Seri Paduka Baginda sendiri ketika zaman kanak-kanak dan motosikal Harley Davidson bercorak belang harimau yang sering digunakan Sultan Ibrahim dalam siri jelajah Kembara Mahkota Johor.

Pameran Raja Kita di Galeri 1 dan 2 di Muzium Negara yang berlangsung kira-kira dua bulan merupakan sebahagian daripada acara yang disusun bersempena dengan Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan