WILAYAH - SELATAN > BERITA

Polis Tahan Lapan Individu, Rampas Dadah Bernilai RM54,550.20

28/07/2024 12:09 PM

KOTA TINGGI, 28 Julai (Bernama) -- Polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan serta merampas 779.07 gram pelbagai jenis dadah bernilai RM54,550.20 di sekitar kawasan Sungai Papan di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata kesemua mereka yang berusia antara 19 hingga 51 tahun itu, ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dalam satu operasi khas, kira-kira pukul 3.40 pagi.

Beliau berkata modus operandi sindiket yang aktif beroperasi sejak Mei, menjadikan rumah yang terletak di muara sungai sebagai tempat pembungkusan semula dadah, sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati enam daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine, manakala seorang lagi positif dadah jenis THC dan seorang lagi pula didapati negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussin berkata hasil semakan rekod mendapati lima suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata antara dadah yang dirampas termasuk heroin, methamphetamine, ketamin, ganja dan pil erimin serta ekstasi yang dipercayai boleh digunakan seramai 6,000 penagih. 

“Kita turut menyita tiga buah kenderaan bernilai RM25,000 dan wang tunai berjumlah RM5,023 dengan jumlah sitaan keseluruhan RM30,023.

“Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga Selasa (30 Julai) depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Hussin berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi berjaya menahan 982 individu atas pelbagai kesalahan dan merampas 17.324 kilogram dadah bernilai RM591,150 serta menyita harta sindiket RM 223,017, bermula 1 Jan hingga semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan