WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia terus perkukuh dialog, kerjasama dengan kepimpinan baharu UK

28/07/2024 12:46 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Malaysia menyatakan harapannya untuk terus memperkukuh dialog dan kerjasama dengan United Kingdom (UK) di bawah kepimpinan baharu negara itu.

Kementerian Luar Malaysia menerusi hantaran di Facebook pada Ahad berkata hasrat itu dinyatakan semasa Persidangan Pasca Menteri ASEAN dengan UK pada Jumaat di Vientiane, Laos.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat berkenaan.

"Malaysia juga menggesa UK, sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menyokong penentuan nasib sendiri rakyat Palestin, menyeru gencatan senjata di Gaza, dan menyokong usaha ASEAN ke arah keamanan di Myanmar," menurut hantaran itu.

Menurut Kementerian Luar, keutamaan ekonomi yang diketengahkan oleh Malaysia termasuk teknologi kewangan rentas sempadan, sokongan terhadap  Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), dan memupuk celik digital melalui Pakej Kerjasama Perkhidmatan Kewangan ASEAN-UK. 

Selain itu, Malaysia turut menekankan pengukuhan kerjasama pendidikan untuk memupuk inovasi dan pemikiran kritis dalam kalangan belia. 

Malaysia seterusnya menyeru ASEAN dan UK mengutamakan peralihan hijau yang adil, inklusif dan saksama melalui kerjasama dalam tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur hijau dan pembiayaan iklim.

Parti Buruh British, yang diketuai oleh Keir Starmer, memenangi pilihan raya umum UK awal bulan ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan