WILAYAH - SABAH > BERITA

Teruskan Rundingan Pemberian Khas, Muktamadkan Hasil 40 Peratus Kepada Sabah - UPKO

28/07/2024 05:30 PM

PENAMPANG, 28 Julai (Bernama) -- Kerajaan Sabah dan Persekutuan perlu meneruskan rundingan bagi menetapkan kadar pemberian khas dan memuktamadkan pembayaran hasil 40 peratus kepada Sabah seperti dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata parti itu menyokong penuh langkah kerajaan Sabah memuktamadkan tuntutan tersebut dan menghargai usaha kerajaan negeri mengemukakan tuntutan itu kepada kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

“Langkah ini amat positif ke arah usaha penyelesaian isu yang telah berlanjutan sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO di sini hari ini.

Jumaat lepas, Bernama melaporkan Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Brenndon Keith Soh berkata kerajaan Sabah tetap bersedia dan mampu untuk memulakan rundingan lanjut mengenai pemberian khas yang selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Brenndon berkata perkara itu berikutan maklum balas Kementerian Kewangan kepada pertanyaan di Parlimen pada 16 Julai bahawa kerajaan melalui Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JTMTPMA63) komited untuk membincangkan kadar pemberian khas baharu untuk Sabah.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata beliau sendiri akan memainkan peranan menjayakan tuntutan itu melalui platform dianggotainya seperti Kabinet Persekutuan, Majlis Khas Tindakan Pelaksanaan MA63 dan JTMTPMA63.

“Saya berharap semua pemimpin di negeri ini terus bersatu hati untuk sama-sama memperjuangkan tuntutan ini demi kepentingan rakyat Sabah secara keseluruhan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan