WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPT lancar papan pemuka pendidikan tinggi pantau KPI dan pencapaian inisiatif

01/08/2024 10:27 PM

PUTRAJAYA, 1 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini melancarkan papan pemuka pendidikan tinggi iaitu sebuah platform yang akan digunakan bagi memantau dan melapor pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) inisiatif kementerian.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata papan pemuka itu dibangunkan KPT bagi memantau pencapaian prestasi inisiatif-inisiatif kementerian.

"Papan pemuka ini merupakan platform bagi menyelaras input dan data pencapaian KPI inisiatif-inisiatif daripada bahagian, jabatan, agensi dan institusi pendidikan tinggi (IPT) bagi mengukur, menganalisa pelaporan serta mengambil kira keperluan intervensi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran papan pemuka bersempena majlis perhimpunan bulanan KPT, di sini hari ini.

Zambry berkata terdapat tiga inisiatif yang dipantau di dalam papan pemuka itu termasuk Pelan Tindakan Landasan Hala Tuju Pendidikan Tinggi, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dan Kajian Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC).

Papan pemuka itu juga akan memaparkan kisah-kisah pencapaian institusi-institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) tempatan. Papan pemuka itu akan dipaparkan di laman web KPT untuk memberi rujukan dan maklumat terkini kepada masyarakat. 

Terdahulu, Zambry turut menyempurnakan sesi flag off sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 peringkat kementerian bagi menyemarakkan lagi pengisian pada tahun ini.

Selain itu, satu sesi syarahan bertajuk 'Humanity and Future Education' yang disampaikan oleh mantan Menteri Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan Dr Naledi Pandor turut diadakan. 

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan