WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPT Kerjasama Dengan Wisma Putra Pantau Keselamatan Pelajar Di Bangladesh

28/07/2024 05:27 PM

SUNGKAI, 28 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa memantau keselamatan pelajar yang masih berada di Bangladesh menerusi kerjasama dengan Wisma Putra, kata Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Zambry berkata setakat ini pihaknya telah mendapat maklum balas daripada Wisma Putra bahawa kira-kira 40 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) adalah antara sebahagian daripada rakyat Malaysia yang kekal berada di Bangladesh. 

“Saya difahamkan bahawa (rakyat Malaysia) yang berada di sana (Bangladesh) sebahagiannya bekerja dalam sektor tertentu dan pelajar yang berasa mereka tidak terganggu dengan keadaan yang berlaku di sana, tetapi jumlahnya tidak ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Malim di sini hari ini.

Ribuan pelajar di Bangladesh mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai lepas ekoran keputusan mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang telah dimansuhkan pada 2018 dan kesan daripada demonstrasi itu mengorbankan lebih 130 nyawa.

Susulan itu, sejumlah 123 rakyat Malaysia termasuk 80 pelajar telah dibawa pulang dari Bangladesh menerusi penerbangan khas atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lepas.

Zambry berkata baru-baru ini beliau telah mengarahkan kementeriannya agar melihat dari segi perancangan seterusnya bagi pelajar yang telah pulang ke Malaysia.

“Untuk peringkat awal, kita telah mengarahkan bantuan dari segi kaunseling dan saya juga telah meminta pihak kementerian berbincang dengan pelajar apa perancangan mereka seterusnya.

“Saya yakin sekiranya suasana di Bangladesh kembali tenang mereka boleh pulang semula dan kita akan minta Wisma Putra untuk bersama-sama KPT membantu dalam urusan penghantaran pulang nanti,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan