WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lebih Separuh Penduduk Sudan Hadapi Kebuluran Akut - PBB

02/08/2024 12:02 PM

NEW YORK, 2 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Lebih separuh daripada penduduk Sudan kini menghadapi kebuluran akut, kata jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.

“Sekurang-kurangnya 26 juta orang di Sudan, kini menghadapi kebuluran yang teruk, termasuk 755,000 orang yang menghadapi keadaan bencana dengan kematian berkaitan kebuluran juga direkodkan,” menurut Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB António Guterres dalam satu kenyataan, lapor Xinhua.

Dujarric yang memetik laporan terkini Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) berkata keadaan kebuluran bencana telah diunjurkan buat kali pertama dalam sejarah tinjauan IPC di Sudan.

Menurut beliau, sebanyak 14 kawasan di negara itu telah diisytiharkan “berisiko mengalami kebuluran” dalam beberapa bulan akan datang.

“Hanya untuk memberi anda beberapa konteks, satu daripada setiap dua rakyat Sudan bergelut untuk mendapatkan makanan yang mencukupi setiap hari,” tambah jurucakap itu.

Sementara itu, Dujarric berkata Program Makanan Sedunia (WFP) sedang meningkatkan tindak balas kecemasannya untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa di negara itu dengan meningkatkan jumlah bantuan, dan mengenal pasti cara inovatif dan berkesan untuk menyampaikan bantuan segera kepada berjuta-juta orang di seluruh Sudan

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan rakan kongsinya memberi amaran bahawa lebih ramai orang di Sudan akan mengalami tahap kebuluran yang teruk jika konflik semasa, yang bermula pada April 2023, tidak dihentikan.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan