WILAYAH - TIMUR > BERITA

PRK Nenggiri: Dua Helikopter Lancarkan Penjumlahan Undi

02/08/2024 01:52 PM

GUA MUSANG, 2 Ogos (Bernama) -- Dua helikopter akan digunakan bagi melancarkan proses penjumlahan undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang akan bermula esok.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Nenggiri Nik Raisnan Daud berkata hal itu memandangkan PRK berkenaan meliputi kawasan luas termasuk lima pos Orang Asli yang terletak jauh dari pusat penjumlahan undi di Dewan Perdana Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang.

“Kita akan menggunakan dua buah helikopter berkenaan untuk bergerak ke Pos Goh dan Pos Simpoh kerana kedudukan Pos Goh berada di 116 kilometer (km) dari Bandar Gua Musang, manakala bagi Pos Simpoh jaraknya adalah 100km.

“Kalau kita gunakan kenderaan pacuan empat roda, ia akan mengambil masa dalam enam jam untuk sampai ke sana,” katanya kepada Bernama ketika meninjau persiapan pusat penamaan calon di Dewan Perdana Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang, di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari penamaan calon dan hari mengundi pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal pada 13 Ogos tidak akan diadakan selepas kesemua 14 pengundi terlibat memilih mengundi secara pos, susulan keperluan mereka bertugas sepanjang tempoh kempen.

PRK itu diadakan berikutan kekosongan kerusi susulan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Mengenai persiapan hari penamaan calon esok, Nik Raisnan berkata setakat ini kesemuanya berjalan lancar dan simulasi proses penamaan calon turut diadakan hari ini.

“Alhamdulillah, hari ini persiapan bagi proses pernamaan calon berjalan lancar. Petugas-petugas kita yang terlibat pada esok adalah seramai 424 orang daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sepanjang proses penamaan esok, hanya 30 penyokong bagi setiap calon dibenarkan masuk ke dalam kawasan persekitaran pusat penamaan.

“Bagi penyokong yang selebihnya, mereka hanya dibenarkan untuk berada 50 meter daripada pekarangan (dewan)," katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan