WILAYAH - TIMUR > BERITA

PRK Nenggiri: Pusat Media Mula Beroperasi Esok - JaPen

02/08/2024 01:01 PM

GUA MUSANG, 2 Ogos (Bernama) -- Pusat media khusus bagi Pilihan Raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan mula beroperasi mulai esok sehingga 17 Ogos ini bagi memudahkan pengamal media menyediakan laporan berita sepanjang tempoh PRK itu.

Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata pusat berkenaan yang menyediakan kemudahan internet dan tempat sidang media akan dibuka dari 9 pagi hingga 7 malam, setiap hari.

"Pusat ini boleh memuatkan kira-kira 20 petugas media dalam satu masa. Jadi kami jemput mereka yang bertugas di PRK Nenggiri untuk datang menggunakan kemudahan di sini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian program BUDI MADANI @JaPen dan Kempen Keselamatan Dalam Talian Peringkat Negeri Kelantan di Dataran Kesedar Sungai Asap, di sini, hari ini yang dirasmikan  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari penamaan calon dan hari mengundi pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal pada 13 Ogos tidak akan diadakan selepas kesemua 14 pengundi terlibat memilih mengundi secara pos, susulan keperluan mereka bertugas sepanjang tempoh kempen.

PRK berkenaan diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas susulan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Mengenai program BUDI MADANI Muhd Nor Aswadi berkata pelbagai acara diadakan termasuk Jualan Rahmah, kempen kesedaran keselamatan dalam talian oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta aktiviti sukaneka dan kebudayaan.

Selain itu orang ramai juga boleh berinteraksi dengan agensi kerajaan yang terlibat dan membuat permohonan BUDI MADANI bagi kategori BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi serta MySubsidi Diesel.

"Setakat pagi ini hampir 1,000 orang yang hadir kerana kita ada Jualan Rahmah di samping minat orang ramai untuk mendengar taklimat mengenai BUDI MADANI kerana rata-rata masyarakat di sini menggunakan kenderaan diesel," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan