WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tourism Malaysia Sasar 1 Juta Pelancong India Hujung Tahun Ini

02/08/2024 05:20 PM

PUTRAJAYA, 2 Ogos (Bernama) -- Tourism Malaysia menyasarkan kedatangan satu juta pelancong India menjelang akhir tahun ini dengan beroperasinya penerbangan terus AirAsia yang baharu, menghubungkan Guwahati dan Kozhikode (Calicut) ke Kuala Lumpur.

Laluan baharu itu, yang bermula hari ini, akan beroperasi tiga kali seminggu, menurut agensi penggalakan pelancongan negara itu.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia P. Manoharan berkata pengembangan itu mengukuhkan keterhubungan udara antara India dan Malaysia, menawarkan lebih banyak kemudahan untuk pelancong dan mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara.

"Kami teruja untuk bekerjasama dengan AirAsia bagi meningkatkan kebolehcapaian kepada pengembara dari Guwahati dan Kozhikode. Penerbangan terus ini menekankan komitmen kami untuk mempromosikan pelancongan, mengukuhkan hubungan bilateral dan yakin laluan ini akan merangsang kedatangan pelancong dan memberikan pengalaman indah di Malaysia kepada pengunjung," katanya dalam kenyataan. 

India merupakan pasaran pelancongan utama bagi Malaysia.

Pada April 2024, kedatangan pelancongan India meningkat 80.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023, iaitu mencecah 295,000 pengunjung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan