WILAYAH - SARAWAK > BERITA

YADIM disaran tingkat usaha sebar nilai rahmah dalam dakwah

02/08/2024 11:02 PM

PUTRAJAYA, 2 Ogos (Bernama) -- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) perlu melipatgandakan usaha untuk menyebarkan nilai-nilai rahmah dan kasih sayang dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata aktiviti serta program kemasyarakatan bersama komuniti merentasi budaya dan agama perlu diteruskan untuk memupuk kerukunan dalam masyarakat berteraskan nilai-nilai MADANI.

Beliau berkata justeru itu, YADIM dilantik mengetuai Program Dakwah Negara sepanjang bulan ini dan September bersama agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

"Saya yakin dan percaya bahawa Program Dakwah Negara yang dianjurkan ini pasti merancakkan lagi arena dakwah di negara kita… ini adalah sebahagian usaha YADIM sebagai jurubicara di peringkat lapangan khususnya memberikan kefahaman berkaitan agenda Membangun Malaysia MADANI dan sudah tentulah program yang disusun adalah menarik, interaktif serta dapat menarik minat anak-anak muda," katanya.

Mohd Naím berkata demikian semasa berucap pada Program Pentas Akhir Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) dan Pelancaran Program Dakwah Negara di sini hari ini.

Program itu bertujuan menjadikan dakwah sebagai budaya masyarakat untuk menyeru ke arah kebaikan dan menonjolkan keindahan Islam selain memberi penjelasan serta penghayatan kepada masyarakat Islam tentang kepentingan mengamalkan kehidupan dengan mengambil kira prinsip Hubbul Watan (kecintaan kepada negara).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan