WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Paris 2024: Zii Jia ceriakan kembali kontinjen negara

03/08/2024 05:19 AM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 2 Ogos (Bernama) -- Pencapaian perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia melangkah ke separuh akhir meningkatkan semula semangat kontinjen Malaysia memburu emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2024 di sini selepas kem badminton melalui detik penuh beremosi.

Permulaan cabaran pada hari ketujuh temasya agak perit apabila percubaan dua wakil beregu untuk mara ke final  dihalang oleh ‘tembok besar’ China selepas berjuang berhabis-habisan pada aksi separuh akhir di Porte de La Chapelle Arena pada hari ini. 

Pada aksi pertama pagi ini (petang di Malaysia), beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah terpaksa akur dengan kehebatan pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan apabila tewas 12-21, 21-18, 15-21 dalam aksi sengit lebih 78 minit.

Mereka seterusnya akan beraksi dalam penentuan pingat gangsa menentang wakil Jepun Nami Matsuyama-Chiharu Shida pada Sabtu dalam usaha melakar sejarah merangkul pingat selepas muncul beregu wanita Malaysia pertama mara ke separuh akhir Olimpik.

Sementara itu, pemenang pingat gangsa beregu lelaki di Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mengalami nasib sama menentang  satu lagi beregu utama dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Selepas pertarungan sengit selama lebih sejam, juara dunia 2022 itu terpaksa menerima kekalahan 19-21, 21-15,  17-21.

Dalam misi mempertahankan gangsa, Aaron-Wooi Yik akan berdepan beregu nombor dua dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, Ahad ini.

Namun, Zii Jia beraksi pada sebelah malam (awal pagi Sabtu di Malaysia) berjaya menceriakan kembali kontinjen negara apabila mengatasi cabaran pemain Denmark, Anders Antonsen.

Juara All England 2021, Zii Jia, beraksi dengan cukup tenang untuk melakar kemenangan 21-17, 21-15 ke atas pemain nombor tiga dunia itu untuk berdepan juara dunia 2023 Kunlavut Vitidsarn dari Thailand.

Terdahulu, Kunlavut mencipta besar kejutan dengan  menyingkirkan pemain nombor satu dunia dari China, Shi Yu Qi menerusi kemenangan straight sets 21-12, 21-10.

Selain badminton, cabaran Malaysia pada Sabtu akan diteruskan oleh pemain golf profesional negara Gavin Green pada pusingan ketiga acara individu lelaki.

Atlet pelayaran Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohamad Latiff masing-masing beraksi dalam acara single handed dinghy ILCA 7 lelaki dan ILCA 6 wanita.

Tumpuan juga terletak ke atas Raja Pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang akan membuka kempen dalam pusingan awal acara 100 meter (m) lelaki di Stade de France. 

Menarik untuk melihat jika atlet pecut yang berpengkalan di Amerika Syarikat itu mampu memperbaiki rekod kebangsaan 10.09 saat miliknya, susulan trek Mondo baharu berwarna ungu di stadium berkenaan dikatakan membantu atlet mencatatkan masa yang lebih pantas.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan