WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM Lancar Dua Bilik Gerakan PRK DUN Nenggiri

03/08/2024 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan dua bilik gerakan pilihan raya, bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan bilik gerakan berkenaan, akan beroperasi di Kompleks SPRM Negeri Kelantan, Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu dan SPRM Cawangan Gua Musang di Aras 1 Bangunan Persekutuan, Gua Musang mulai hari ini hingga 17 Ogos.

Bilik gerakan di SPRM Negeri Kelantan akan beroperasi 24 jam, manakala waktu operasi di SPRM Cawangan Gua Musang dari 8 pagi hingga 6 petang.

“Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui e-mel kepada prk2024_kel@sprm.gov.my atau menghubungi talian 09-7661800 sambungan 1970,” menurut kenyataan itu.

SPRM turut mengingatkan kepada semua calon dan parti politik yang bertanding agar tidak melakukan aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail.

PRK berkenaan diadakan susulan kekosongan kerusi berkenaan yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri itu Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal pada 13 Ogos tidak akan diadakan selepas kesemua 14 pengundi terlibat memilih mengundi secara pos, kerana keperluan mereka bertugas sepanjang tempoh kempen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan