WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Banjir: 113 Orang Di Hulu Bernam Dipindahkan Ke PPS

04/08/2024 10:01 PM

SHAH ALAM, 4 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 113 individu dari enam kampung di Hulu Bernam, Hulu Selangor dekat sini dipindahkan ke pusat pemindahan banjir (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata terdahulu, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian melibatkan Kampung Sungai Selisik, kira-kira 5.50 petang.

Beliau berkata susulan laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Baharu digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sampai di lokasi, komander operasi mendapati kejadian banjir itu membabitkan enam kampung iaitu Kampung Sungai Selisik, Kampung Serigala, Kampung Sungai Nilam, Kampung Sekolah, Kampung Masjid dan Kampung Paya Lebar.

“Ketika kejadian, paras kedalaman air adalah setinggi 0.3 meter dan trend air dalam keadaan menurun. PPS telah dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Sekolah dengan menempatkan 113 mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Ahmad Mukhlis berkata operasi pemindahan turut membabitkan pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Bomba Sukarela, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan